Kejohanan Olahraga dan Sukaneka SKKB 2009

Ahad, 18 Oktober 2009

Dicatat oleh jqafskkb di 5:50 PTG 0 ulasan  

Sambutan Hari Raya

Sabtu, 3 Oktober 2009

Gambar-gambar kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfiri Sk Kg Buloh.







Gambar seterusya.

Dicatat oleh jqafskkb di 9:32 PTG 0 ulasan  

Puasa Enam Syawal

Rabu, 30 September 2009


Dua jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Oleh Zahri Hamat

Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Dicatat oleh jqafskkb di 7:31 PTG 0 ulasan  

Majlis Khatam al-Quran PRA Sekolah Daerah Setiu

Rabu, 19 Ogos 2009

Majlis Khatam al-Quran PRA Sekolah peringkat Daerah Setiu telah diadakan di SMK Putera Jaya. Seramai 168 orang murid pra dari seluruh Daerah Setiu telah berkumpul di surau sekolah tersebut pada hari ini 20 ogos 2009. Majlis yang julung kali diadakan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah.






Dicatat oleh jqafskkb di 9:38 PTG 0 ulasan  

Adab berpuasa dan Solat Tarawih.

Isnin, 17 Ogos 2009


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

Sumber asal dari Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Dicatat oleh jqafskkb di 9:14 PTG 0 ulasan  

Rejab : Pengertian, Peristiwa Penting & Amalan

Rabu, 24 Jun 2009

Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting


1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

http://www.ezsoftech.com/ramadan/i/baitul_muqaddas.jpg


4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


Amalan


Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.


Sumber Disediakan oleh:
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka

www.al-azim.com

Dicatat oleh jqafskkb di 8:17 PTG 0 ulasan  

Takziah Buat Cikgu Madziah Mohd Ladar ( Kak Zi ) di atas Pemergian Suami

Rabu, 17 Jun 2009


HULU TERENGGANU (Sinar Harian)- Seorang anggota bomba dan penyelamat Unit Selam Setiu, mati lemas selepas seutas tali pada badannya tersangkut pada tunggul kayu di Tasik Kenyir, semalam ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang penyelia projek yang dikhuatiri lemas, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Aladi Hasan, 41, dari Kelantan bersama anggota unit selam lain menjalankan operasi mencari Halmi Shukri Hashim, 28, dari Yan, Kedah, yang dipercayai terjatuh dalam Tasik Kenyir kira-kira jam 2.45 petang.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, ketika kejadian:, mangsa menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang penyelia Projek Taman Burung.

“Secara tiba-tiba, tali badan yang ada pada mangsa tersangkut pada pokok dalam tasik berkenaan.

“Mangsa mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Tengkawang dan kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Sementara itu, rakan kepada Halmi Shukri yang dikhuatiri lemas, Bakri Mohd Nor, 30, dari Alor Setar, Kedah, berkata, dia segera menunaikan ‘hajat’ apabila terdengar bunyi enjin bot begitu pelik.

Apabila sampai di tebing, bot terbabit dilihat berpusing-pusing tanpa henti sedangkan rakannya (mangsa) tiada dalam bot.

“Sebelum kejadian saya meminta tolong dia (Halmi Shukri) hantarkan saya ke sebuah pulau berhampiran kerana mahu membuang air besar dan tidak menyangka ini yang terjadi.

“Malah, dia menyuruh saya menunaikan hajat puas-puas dan akan datang kembali kira-kira 10 minit kemudian. Saya sungguh terkejut apabila mendapati dia tiada atas bot yang berpusing-pusing,” katanya.

Menurut Bakri, walaupun cuba mencarinya tetapi usaha itu gagal menyebabkan dia terpaksa menjerit meminta tolong rakan di tapak projek.

“Kami cuba mencarinya tetapi tetap tidak berjumpa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Unit Selam Negeri Terengganu yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat, Pegawai Bomba Kanan II, Yusmizan Yusof berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang menerima panggilan jam 2.50 petang, kelmarin.

“Semalam (kelmarin), kita memulakan operasi bermula jam 5 petang dan menghentikan operasi jam 6 petang berikutan keadaan gelap.

“Hari ini (semalam) operasi dimulakan jam 8 pagi dan berakhir 6 petang, bagaimanapun mangsa masih gagal ditemui,” katanya.

Menurut Yusmizan, kedalaman air 14.5 meter dan operasi berdepan sedikit kesukaran kerana keadaan dalam air gelap, berlumpur dan dipenuhi tunggul kayu. Operasi akan diteruskan seperti biasa esok (hari ini).

Sumber asal : Sinar Harian 17 Jun 2009

Dicatat oleh jqafskkb di 8:08 PTG 0 ulasan  

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Isnin, 18 Mei 2009

Dicatat oleh jqafskkb di 7:31 PTG 0 ulasan  

SETIU JOHAN QARI DAN QARIAH

Rabu, 6 Mei 2009

Putera Jaya - Dua orang peserta daerah Setiu masing-masing diisytihar johan qari dan qariah dalam Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2009 yang telah diadakan di SMK Lembah Bidong, Setiu, Terengganu pada 24 dan 25 April lalu.

Peserta tersebut ialah Muhammad Muqri Naufal bin Anuar dari Sekolah Kebangsaan Batu 29, johan qari kategori sekolah rendah manakala Rabiatul Adawiah binti Abdul Halim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong meraih johan qariah kategori sekolah menengah. Kedua-duanya akan mewakili Terengganu ke Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Perak pada akhir Mei nanti.

Muhammad Muqri Naufal yang merupakan pelajar tahun 5, adalah johan qari tahun lepas dan pernah mewakili Terengganu dalam Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka.

Sementara dua lagi peserta dari Setiu berjaya mendapat naib johan dalam tilawah al-Quran dan hafazan dalam pertandingan yang diadakan di SMK Lembah Bidong ini. Mereka ialah Anis Syakirah binti Anuar juga dari Sekolah Kebangsaan Batu 29 yang merupakan kakak kepada Muhammad Muqri Naufal, naib johan qariah sekolah rendah manakala Ainun Atirah binti Ali dari Sekolah Kebangsaan Permaisuri pula mendapat naib johan hafazan perempuan sekolah rendah.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Tuan Haji Wahid bin Setia, Ketua Sektor Pendidikan Islam mewakili Pengarah Pelajaran Terengganu.

setiu

(Dari kiri) Ainun Atirah Ali, Anis Syakirah Anuar dan Muhammad Muqri Naufal Anuar.

Dicatat oleh jqafskkb di 8:16 PTG 0 ulasan  

MAJLIS TADARUS PERINGKAT ZON BERMULA

Rabu, 25 Mac 2009

24 Mac 2009 - Majlis Tadarus Al-Quran peringkat Zon Setiu Barat telah diadakan di SK Batu 29 pada hari ini bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada 5.30 petang. Majlis yang setiap tahun diadakan ini telah disertai oleh semua sekolah dari zon Setiu Barat dalam beberapa acara iaitu Tilawah Al-Quran, Nasyid, Selawat Kompang, Hafazan dan Bercerita.

sk lktp chalok barat

Pasukan Selawat Kompang dari SK LKTP Chalok Barat

SMK Chalok Model Khas telah mewakili Zon Setiu Barat apabila menang tanpa bertanding dalam acara Nasyid manakala SK LKTP Chalok Barat menang tanpa bertanding dalam acara Selawat Kompang. Dalam acara tilawah Al-Quran pula, SK Batu 29 telah muncul johan bahagian lelaki dan perempuan. Tempat kedua lelaki dan perempuan pula telah dimenangi oleh SK LKTP Chalok Barat.

sk batu 29

Adik Muhammad Muqri Naufal dan Adik Anis Syakirah johan tilawah

Dalam acara hafazan lelaki pula, SK Bukit Putera telah mendapat tempat pertama manakala SK LKTP Chalok Barat tempat kedua dan SK Sungai Lerek mendapat tempat ketiga. SK LKTP Chalok Barat juga telah memenangi acara Hafazan bahagian perempuan manakala SK Chalok telah mendapat tempat kedua.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Azmi bin Nazir Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Setiu.

hadiah

Encik Mohd Azmi bin Nazir menyampaikan hadiah kepada pemenang

Dicatat oleh jqafskkb di 7:12 PTG 0 ulasan  

Maulidur Rasul

Isnin, 9 Mac 2009


Mengingati Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Pada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idola.

Oleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.

Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengancara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.

Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun 'pengharaman arak' untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.

Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.

Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan."

Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.

Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.

Dicatat oleh jqafskkb di 9:48 PTG 0 ulasan  
zwani.com myspace graphic comments